Tuesday 26 March 2013

ARNOLD LUCIUS GESELL





Sedikit perkongsian mengenai  Arnold Lucius Gesell




Nama sebenar beliau ialah Arnold Lucius Gesell. Rousseau mempercayai bahawa tingkah laku berkembang menurut tahap-tahap atau jadual dalaman yang berlaku secara semula jadi. Dengan perkataan lain kita namakan proses ini sebagai kematangan biologis. Arnold Gesell (1880-1961) telah berusaha memulakan kajian kematangan. Gesell dibesarkan di Alma, Winconsin, sebuah bandar kecil di pinggir Sungai Mississippi bahagian utara.





Jadual perkembangan turutan tingkah laku menurut Arnold Lucius Gesell

Arnold Lucius Gesell (1925) telah berjaya menghasilkan jadual perkembangan turutan tingkah laku (perkembangan motor) kerana beliau berpendapat bahawa semua perkembangan berlaku mengikut pola dan urutan tertentu. Oleh itu, perkembangan tingkah laku kanak-kanak boleh diramalkan. Contohnya, semasa berumur empat bulan, Fahmi telah boleh merangkak, tingkah laku seterusnya adalah duduk dan mula belajar berdiri. Peringkat perkembangan adalah berbeza-beza antara seseorang induvidu dengan induvidu yang lain kerana kadar pertumbuhan adalah berlainan bagi setiap induvidu.

Jadual perkembangan turutan tingkah laku yang dihasikan oleh Gesell boleh dibahagikan kepada lima peringkat. Pada peringkat pertama iaitu pada usia lahir hingga satu tahun, ciri-ciri perkembangan tingkah laku yang dihasilkan pada usia satu bulan menurut Gesell (1925) ialah bayi dapat menghasilkan tangisan berbeza-beza untuk menyatakan kehendak yang berlainan seperti tangisan lapar adalah berbeza daripada tangisan ketika lampinya basah. Pada usia empat bulan, koordinasi fizikal berlaku pada bayi iaitu mata bayi boleh mengikut objek yang bergerak. 

Misalnya bayi dapat melihat kapal terbang mainan yang berpusing. Seterusnya, pada usia enam bulan bayi sudah dapat menggenggam sesuatu objek misalnya bola, kubus kayu, keringcing dan sebagainya. Pada usia tujuh bulan, bayi sudah mula pandai duduk dan merangkak dengan sendirinya tanpa bantuan daripada orang lain kerana pada masa ini otot leher, tangan, kaki, pinggul bayi sudah semakin kuat dan membolehkan bayi duduk dan merangkak dengan cepat. Pada usia dua belas bulan, bayi sudah mahir untuk melangkahkan kakinya dengan berpaut pada kerusi, meja untuk mengimbangkan berat badanya.

Pada peringkat kedua iaitu pada usia satu hingga dua tahun, kematangan fizikal dan mental mula meningkat iaitu bayi sudah pandai jalan bertatih dibantu oleh pengasuhnya. Pada tahap ini juga, bayi sudah mula faham istilah” jangan” dan pada usia dua tahun bayi sudah mahir untuk berjalan tanpa bantuan daripada pengasuhnya kerana bayi sudah memperolehi keseimbangan badan yang sempurna. Pada peringkat ke tiga iaitu pada usia dua hingga tiga tahun bayi sudah mengcapai koordinasi mata, tangan dan kaki yang semakin sempurna misalnya boleh mengurus diri sendiri seperti boleh makan dan memakai kasut dengan sendiri dan mula boleh bercakap dengan menggunakan ayat yang mudah tetapi tidak begitu baik dan ayat yang digunakan tidak begitu lengkap.
 
Pada peringkat keempat iaitu pada usia tiga hingga empat tahun, koordinasi dan kematangan fizikal kanak-kanak sudah semakin kukuh misalnya boleh menunggang basikal beroda tiga dan boleh menuruti arahan mudah daripada ibu bapa. Pada tahap kelima iaitu pada usia empat hingga lima tahun, proses interaksi kanak-kanak mula terbentuk kerana pada tahap ini kanak-kanak mula bersosialisasi dan bergaul dengan rakan-rakan seusia denganya kerana pada masa ini kanak-kanak telah bersedia untuk memasuki alam persekolahan iaitu ke kelas pra sekolah. Pada peringkat ini juga kanak –kanak suka untuk mengemukakan soalan kepada penjaganya samaada ibu, ayah, guru dan sebaginya untuk mengetahui sesuatu pekara kerana kanak-kanak pada usia sebegini mempunyai sifat ingin tahu yang sangat tinggi berdasarkan pemerhatian mereka terhadap persekitaran sekeliling.


Aktiviti mengikut peringkat umur menurut Arnold Lucius Gesell

Antara aktiviti yang boleh dilakukan pada setiap peringkat umur mengikut teori Arnold Gesell ialah penerokaan permainan untuk kanak-kanak berusia lahir hingga satu tahun.Pada peringkat pertama ibu bapa atau pengasuh sangat memainkan peranan yang penting untuk memberi rangsangan yang positif dalam membantu perkembangan bayi tersebut. Cara aktiviti ini dilakukan ialah letakkan bayi di lantai atau ruangan yang lebih luas dan bersih kerana bayi memerlukan ruang yang lebih luas untuk meneroka persekitaranya

Seterusnya ibu bapa dapat memberi rangsangan kepada bayi dengan memberi bayi pelbagai jenis permainan yang berwarna-warni, berbunyi dan tidak mudah pecah kepada bayi misalnya kubus kayu, bola, keringcing untuk menarik perhatian bayi bermain dan pada masa yang sama, ibu bapa digalakkan untuk bermain bersama bayi dan memberi dorongan kepada bayi disamping dapat mengawasi bayi tersebut. Aktiviti ini secara tidak langsung dapat merangsang perkembangan motor kasar dan motor halus bayi misalnya merangkak kerana pada masa ini otot pinggul, bahu,tangan dan kaki bayi sudah semakin kuat dan bayi dapat mengenggam atau memegang objek ketika bermain.

Pada peringkat kedua iaitu pada usia satu hingga dua tahun, aktiviti yang boleh dilakukan ialah jalan bertatih. Aktiviti ini boleh dilaksanakan di kawasan yang lapang dan luas seperti ruang tamu, lantai yang mempunyai permukaan yang lembut, halaman rumah, taman permainan dan sebagainya kerana bayi memerlukan ruangan yang besar untuk belajar berjalan. Ibu bapa boleh memberi dorongan kepada bayi dengan membantu bayi ketika proses bertatih dengan mendampingi anak dari belakang bagi mendapatkan sokongan yang baik. Selain itu, alat bantuan seperti baby walker boleh digunakan bagi membantu bayi semasa proses bertatih. Aktiviti ini juga akan membantu perkembangan motor kasar dan motor halus bayi kerana pada usia ini bayi sudah boleh melangkah kakinya dan dapat mengimbangkan berat badanya.

Seterusnya, pada peringkat ketiga iaitu pada usia dua hingga tiga tahun. Aktiviti yang boleh di jalankan ialah mengajar cara makan yang betul kepada kanak-kanak. Ibu bapa boleh menggalakkan kanak-kanak untuk makan dengan sendirinya kerana kanak-kanak pada usia sebegini kanak-kanak mampu untuk makan dengan sendiri kerana pergerakkan motor halus iaitu koordinasi mata, tangan dan keseimbangan badan kanak-kanak sudah sempurna. Ibu boleh memberi rangsangan kepada kanak-kanak dengan meletakkan makanan yang lembut ke dalam bekas plastik misalnya agar-agar, nestum dan sebagainya kemudian ibu hendaklah mengajar kanak-kanak tersebut memegang sudu dan cara makan yang betul dengan pengawasan daripada daripada ibu bapa. Seterusnya ibu atau bapa boleh memberi peneguhan positif kepada kanak-kanak seperti pujian, bertepuk tangan jika kanak-kanak berjaya menyuapkan makanan ke dalam mulut bagi merangsang kanak-kanak untuk terus berusaha.

Pada peringkat keempat ialah menunggang basikal beroda tiga bagi kanak-kanak berusia tiga hingga empat tahun. Ibu bapa atau penjaga memainkan peranan yang penting dengan membantu kanak-kanak mengimbangi badan di atas basikal beroda tiga. Ibu bapa juga perlu memberi rangsangan serta sokongan kepada kanak-kanak supaya kanak-kanak dapat menyesuaikan diri dengan aktiviti berbasikal dengan pengawasan dan pemerhatian daripada penjaga dalam aktiviti tersebut. Aktiviti ini secara tidak langsung dapat meningkatkan perkembangan motor kasar dan motor halus kanak-kanak kerana pergerakkan yang terlibat semasa menunggang basikal beroda tiga ini mampu merangsang perkembangan tersebut. Misalnya genggaman tangan dan kayuhan basikal merupakan salah satu contoh pergerakkan motor kasar dan halus kanak-kanak.

Akhir sekali pada peringkat kelima iaitu pada usia empat hingga lima tahun. Aktiviti yang boleh dilakukan ialah bermain di taman permainan. Aktiviti ini boleh dijalankan dengan penglibatan rakan-rakan yang sebaya yang seusia denganya. Ibu bapa atau penjaga boleh membawa kanak-kanak tersebut ke taman permainan yang berdekatan dan berikan kebebasan kepada kanak-kanak untuk bermain dengan rakan-rakan namun masih dalam pengawasan daripada ibu bapa. Dengan cara ini, kanak-kanak dapat meningkatkan perkembangan sosialnya iaitu kebolehan kanak-kanak untuk berinteraksi, bergaul dan bersosialisai dengan orang lain dengan cara bermain.
 




~~setakat ini sahaja perkongsian mengenai Arnold Lucius Gesell~~
semoga memberi manfaat untuk semua ^^
till we meet again in the next post
pyong pyong !!!

No comments:

Post a Comment